Tuesday 16 April 2013

SEBAB DAN RAWATAN PENYAKIT SKIZOFRENIA


SEBAB-SEBAB SKIZOFRENIA:
Seperti kebanyakan penyakit-penyakit lain, skizofrenia dipercayai disebabkan oleh kombinasi persekitaran dan masalah genetik. Penyakit ini mempunyai kaitan dengan rangkaian biologi manusia sama seperti penyakit kanser dan diabetis. Antaranya:
1.      Diwarisi
Beberapa peneliti menyatakan gen mungkin menjadi penyebab. Anak yang hidup di dalam keluarga yang ibu bapanya menghidap skizofrenia kemungkinan besar akan mewarisi penyakit ini. (Julianto 2008: 13). Hubungan keluarga kelas kedua juga memberikan kesan kepada penyakit ini. Kembar seiras mempunyai peluang yang lebih tinggi atau sebanyak antara 40 hingga 65 peratus untuk mendapat skizofrenia (Kosmo 26 Mac 2008).

2.      Masalah kimia otak
Ketidakseimbangan kimia otak iaitu dopamine dan glutamate (atau yang lain-lain) juga memainkan peranan dalam membentuk skizofrenia. Ia terjadi akibat ketidakseimbangan pada dopamine iaitu salah satu sel kimia dalam otak. Otak pada dasarnya terbentuk dari sel saraf yang disebut neuron dan kimia neutrotransmitter. Selain itu, kajian terbaru berkenaan dengan penyakit ini menunjukkan jenis neutrotransmitter lain iaitu serotonin juga boleh menyumbang kepada gejala penyakit ini (Kosmo 26 Mac 2008).

3.      Ketidakseimbangan struktur otak
Mereka yang menghidap skizofrenia mempunyai otak yang sedikit berbeza daripada manusia biasa. Kadangkala ventrikel otak orang yang menghidap skizofrenia lebih besar. Gray matter otak orang yang menghidap skizofrenia lebih rendah dan sebahagian aktiviti atau metabolisma otak adalah kurang atau lebih (Kosmo 26 Mac 2008).

            Faktor genetik merupakan punca utama penyakit skizofrenia. Skizofrenia merupakan penyakit turun temurun yang bermula daripada generasi terdahulu dan diwarisi oleh generasi akan datang dalam sesebuah keluarga. Trauma dan kecederaan pada otak mengakibatkan penyakit skizofrenia. Seseorang yang mengalami trauma akan berfikiran negatif, berkelakuan aneh dan bersendirian. Sekiranya pencegahan awal tidak dilakukan, seseorang itu berisiko mengalami penyakit tersebut. Faktor penyumbang kepada penyakit itu termasuk keturunan, semasa lahir, personaliti, ketidaknormalan saraf otak, sikap keluarga, biokimia, persekitaran dan penyalahgunaan dadah (Utusan Malaysia 8 Jun 2009).

            Menurut pandangan Schneider, halusinasi dan delusi adalah faktor utama berlakunya kecelaruan skizofrenia. Kecelaruan mood dan pemikiran pula adalah faktor kedua mengapa berlakunya skizofrenia (Azizi Yahaya et.al 2006: 182).

Sebab-sebab lain:
1.      Faktor usia
Skizofrenia umumnya terjadi pada akhir masa remaja dan awal masa dewasa. Skizofrenia jarang berlaku pada masa kanak-kanak. Insiden ini bermula pada umur 15 hingga 25 tahun bagi lelaki dan 25 hingga 35 tahun bagi wanita (Sheila 2001: 348).

2.      Faktor Lingkungan
Faktor-faktor lingkungan yang mempengaruhi atau menimbulkan penyakit ini antaranya ialah kebudayaan, ekonomi, pendidikan, faktor sosial, penggunaan ubat-ubatan, stress, penceraian, penganiayaan dan sebagainya (Julianto 2008: 15).



3.      Psikologi
Menurut Kohut, psikosis merupakan akibat adanya gangguan yang serius pada diri, iaitu ketika tidak ada unsur defensif yang dapat mengatasinya. Gangguan yang serius dalam kehidupan akan membuatkan keperibadian individu dan perkembangannya tidak berjalan normal. Keadaan inilah yang memungkinkan berkembangnya suatu proses skizofrenia dalam keperibadian individu (Singgih 2004: 334). Beberapa teori lain menemukan ada faktor nutrisi, lingkungan keluarga dan reaksi terhadap stress menjadi penyebab skizofrenia (Julianto 2008: 13). Mengalami tahap tekanan perasaan atau stress yang tinggi iaitu ketika dibawah tekanan atau situasi yang membingungkan, termasuk perhatian yang berlebihan terhadap sesuatu dapat mewujudkan penyakit ini.

Berdasarkan kepada filem “A Beautiful Mind” pelakon utamanya iaitu John Nash dilihat tidak boleh berinteraksi sosial seperti orang lain. Dia tidak menyukai orang lain dan menganggap orang lain tidak menyukai dirinya sehingga dia hanya memiliki seorang teman iaitu Charles Herman. Nash juga digambarkan sebagai lelaki yang sombong dan bangga dengan kepandaiannya. Hal ini ditunjukkan dengan cara beliau tidak mahu mengikuti kuliah dan suka menghabiskan masanya dengan mencipta teori matematik yang baru. Beliau sangat menginginkan idea yang original dan gelaran doktor. Oleh itu, beliau lebih suka mengurungkan diri di dalam bilik selama beberapa hari tanpa tidur siang dan malam semata-mata untuk mencipta teori tersebut. Akhirnya, Nash berjaya menemukan konsep baru yang bertentangan dengan teori bapa ekonomi moden dunia, Adam Smith. Teori inilah yang membawa Nash meraih gelaran doktor dan beliau berjaya diterima sebagai pengajar di MIT. Disebabkan sikapnya yang sedemikian, berkemungkinan beliau mengalami keadaan ketidakseimbangan struktur otak iaitu keadaan otaknya mungkin berbeza daripada otak manusia yang lain kerana ia mampu untuk berfikir rumus matematik yang tidak mungkin boleh terfikir oleh orang lain.
            John Nash seorang yang pemalu dan sikapnya yang suka menyendiri, rendah diri (merasa dirinya tidak disukai oleh orang lain), kaku dan tidak bersosial boleh dijadikan sebab beliau mengalami skizofrenia. Beliau menganggap dirinya tidak disukai orang dan beliau juga tidak suka bergaul sehinggakan menjauhkan diri daripada khalayak. Persepsi inilah yang menyebabkan Nash bermain-main dengan dunia khayalannya sendiri. Beliau mencipta rakan khayalan iaitu Charles Herman, Marcee dan William Parcher.

Antara kejadian yang membuatkan skizofrenia John Nash bertambah parah ialah:
1)      Kalah dalam permainan bersama rakannya
2)      Merasa gagal berprestasi untuk mencapai cita-citanya
3)      Merasa tidak dapat melayani isterinya
4)      Tidak boleh bekerja atau mendapatkan pekerjaannya kembali.
Sebagai kesimpulannya, walaupun tiada punca sama yang menjadi penyebab skizofrenia telah dikenal pasti dalam kesemua individu yang menghidap penyakit ini, tetapi kini kebanyakan penyelidik dan pakar perubatan percaya bahawa ia disebabkan oleh gabungan oleh kedua-dua kelemahan otak manusia (sama ada diwarisi atau didapati) dan tekanan pengalaman hidup.
RAWATAN SKIZOFRENIA
Skizofrenia biasanya dirawat dengan menggunakan ubat anti-psikotik, terapi sokongan dan psikopendidikan. Antara pendekatannya ialah:
1.      Pendekatan biologi
Pendekatan ini merujuk pada pengambilan ubat antipsikotok yang dimulakan pada tahun 1950-an. Biasanya dadah digunakan sebagai ubat antipsikotik seperti thorazine, melaril, stelazine dan prolixin yang pada umumnya menghasilkan kesan yang sama. Ubat ini akan mengurangkan aktiviti reseptor dopamine otak yang akan dapat mengurangkan halusinasi dan delusi pesakit tetapi tidak dapat menyembuhkan penyakit ini. Menjelang tahun  2000 terdapat lebih banyak ubat antipsikotik yang dihasilkan seperti clozapine, risperidone dan olanzapine tetapi tetap mempunyai kesan yang sama iaitu hanya mencegah pesakit daripada mengalami gangguan yang lebih teruk dan mengurangkan tekanan yang dialami serta mengurangkan episod psikotik pesakit (Azizi Yahaya et. al 2006: 198).
            Dalam sebuah majalah Dewan Masyarakat, Nur Faizah Abdul Wahab menulis mengenai skizofrenia yang bertajuk Skizofrenia: Pesakit berada dalam dunia fantasi, beliau menulis dalam tahun 1952, sejenis ubat yang digunakan untuk pesakit psikosis iaitu pesakit yang mengalami masalah mental digunakan bagi merawat pesakit skizofrenia. Ubat ini amat berkesan. Dengan teknik imej otak yang moden (scan PET), rawatan boleh digunakan dengan lebih baik lagi. Biasanya, pesakit mengalami kesukaran menyelaraskan aktiviti antara kawasan berbeza di otak. Contohnya semasa berfikir atau bercakap, kebanyakan orang menunjukkan pertambahan aktiviti di bahagian hadapan otak dan kurang aktiviti di kawasan otak yang berfungsi untuk pendengaran.
            Dalam filem A Beautiful Mind, Dr Rosen memberitahu Alicia bahawa Nash mempunyai skizofrenia dan Charles, Marcee dan Parcher hanya wujud dalam imaginasi beliau. Nash diberi kursus terapi kejutan insulin (insulin shock therapy) dan akhirnya dibebaskan. Beliau juga diberi ubat antipsikotik namun beliau kecewa dengan kesan-kesan sampingan ubat antipsikotik yang beliau ambil, maka Nash secara diam-diam berhenti mengambilnya. Ini menyebabkan halusinasi dan khayalan beliau kembali semula.
            Dalam rawatan terapi insulin telah diperkenalkan oleh Sakel di Vienna pada tahun 1930-an dan berguna dalam menangani skizofrenia secara empirikal. Terapi insulin diberikan dalam dos yang kecil kepada pesakit, cukup untuk menyebabkan sedikit pening dan berpeluh. Pesakit masih sedar dan fasa rawatan ditamatkan dengan minuman glukosa (Alexander R.K. Mitchell 1972: 122-123).  Oleh sebab itu, dalam filem tersebut Nash diberikan rawatan terapi kejutan insulin. Prosedur ini menggerakkan glukosa ke dalam otot badan supaya pesakit yang berasa lebih baik dan dalam semangat yang lebih baik (Alexander R.K. Mitchell 1972: 123).
2.      Kaedah Sosiobudaya
Dalam kaedah ini kumpulan etnik masyarakat memainkan peranan yang penting bagi membantu keluarga yang mengalami skizofrenia. Ini kerana keadaan pesakit skizofrenia berbeza-beza di setiap tempat sama ada di Asia mahupun di Eropah. Oleh itu, kaedah rawatan ini lebih menekankan nilai moral dalam masyarakat seperti keluarga memberikan sokongan yang sewajarnya kepada pesakit ini dan menyediakan tempat kerja yang sesuai bagi mengembalikan hubungan pesakit dengan komuniti masyarakat (Azizi Yahaya et.al 2006: 198).
            Sebagai contoh dalam filem, Alicia sangat mengambil berat akan masalah Nash. Alicia membantu dengan menyiasat lelaki bernama Parcher yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen Jabatan Pertahanan yang meminta Nash untuk memecah kod-kod rahsia untuk kerajaan. Alicia mendapati Pacher hanyalah lelaki khayalan Nash dan tidak wujud. Selain itu, kawan lamanya Martin Hansen yang dulu dianggap musuh, seorang ketua jabatan matematik Universiti Princeton juga menolong Nash dengan memberi kebenaran kepadanya untuk bekerja di luar kelas di perpustakaan. Tahun berlalu dan Nash semakin sedar bahawa beliau perlu belajar untuk mengabaikan halusinasinya. Akhirnya dia mendapat keistimewaan untuk mengajar lagi.

3.      Terapi Psikodinamik
Kaedah psikodinamik menekankan pesakit yang menghadapi masalah dalam membebaskan diri mereka daripada kekecewaan yang dialami sejak dahulu.  Antara kekecewaan yang dialami ini adalah hasil daripada salah interaksi antara struktur id, ego dan superego. Ini semua akan menimbulkan kebimbangan yang sukar dikesan. Oleh itu, dalam sesi terapi ini, teknik perkaitan bebas (free association) digunakan di mana pesakit diminta mengeluarkan segala yang terpendam dalam fikiran, perasaan dan hatinya. Mereka tidak dibenarkan menyekat atau menahan apa-apa perasaan, fikiran, rasa hati, masalah atau fantasi ataupu yang tidak munasabah daripada pakar terapi. Tujuannya supaya semua konflik yang dialami secara sedar dan tidak sedar dibawa keluar kea lam sedar dan dikenali serta difahami oleh pesakit. Kini kaedah terapi individu banyak digunakan dan terbukti dapat mengurangkan gangguan dan membantu pesakit membina kemahiran sosial seperti bagaimana hendak berhadapan dengan kritikan orang lain (Azizi Yahaya et.al 2006: 199).
            Dalam filem tersebut, Dr. Rosen memberikan nasihat dan kaunseling kepada Nash. Ini kerana, Nash telah cuba untuk membunuh bayinya sendiri atas hasutan Parcher. Rawatan kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam dan rawatan ini diberikan secara pesakit luar.
4.      Pendekatan Asas Pendidikan
Ahli terapi tingkah laku berpendapat, kegagalan atau kesalahan individu dalam pembelajaran menyebabkannya mengalami skizofrenia. Kaedah pembelajaran yang intensif dapat mengubah perkembangan tingkah laku dan membantu pesakit berhubung dengan masyarakat secara berkesan. Pendekatan ini menetapkan tiga langkah utama iaitu:
  1. Menetapkan pembelajaran tingkah laku pesakit seperti diingini oleh masyarakat.
  2. Memberikannya ganjaran ekonomi seperti jika pesakit melakukan sesuatu perbuatan yang betul dia akan diberikan ganjaran seperti makanan, minuman dan sebagainya.
  3. Latihan kemahiran sosial seperti menjadi jurulatih, juruhias, mengamalkan tingkah laku harian yang umum dan melakukan proses mengingat kembali (Azizi Yahaya et.al 2006: 199). Dalam filem tersebut rawatan ini tidak diterapkan dalam kehidupan Nash.
5.      Pemulihan Psikososial
Kaedah pemulihan ini dikaitkan dengan penyertaan pesakit dalam institusi sosial yang dibuat khusus bagi merawat pesakit psikotik. Contohnya, Kelab Fountain House yang sehingga kini mempunyai lebih 200 rangkaian di seluruh dunia termasuk di Sweden, Jepun, Australia dan terdapat dengan banyak di negara-negara lain serata dunia. Institusi ini ditubuhkan bagi mendapatkan tempat kembali dalam masyarakat bagi para pesakit psikotik. Pesakit akan diajar mengawal emosi dan keupayaan fizikal bagi mencapai cita-cita mereka. Mereka akan diberi sokongan, keperluan dan perhatian supaya dapat berdikari.
            Selain itu, pesakit akan diajar menguruskan pelbagai keperluan harian seperti pengurusan wang, mengatasi perbezaan pendapat dalam keluarga, menjalinkan hubungan persahabatan, menaiki bas, memasak makanan sendiri, berbelanja dan sebagainya. Pesakit dibenarkan tinggal selama 6 bulan dan maksimum 2 tahun dalam institusi ini dengan perkhidmatan yang lengkap meliputi kemudahan rawatan, tempat tinggal dan makanan, pembelajaran, suasana yang aman, keselamatan dan pelbagai kemudahan asas yang lain. Kaedah ini terbukti Berjaya merawat pesakit psikotik dan jumlah kelab yang seumpama ini banyak ditubuhkan di seluruh negara (Azizi Yahaya et.al 2006: 200).  Kaedah ini juga tidak ada dalam fiilem tersebut.
6.      Program Pemulihan Keluarga Secara Intensif
Pendekatan ini menekankan peranan keluarga dalam menangani masalah pesakit dengan cuba berkongsi masalah dengan pesakit, memberi tumpuan kepada aktiviti kehidupan seharian berkeluarga, member pendidikan kepada ahli keluarga yang mempunyai masalah psikotik, mengajar bagaimana berhubung dengan pesakit psikotik, cuba untuk menyelesaikan masalah pesakit dan kemahiran menguruskan masalah keluarga dan mengelakkan daripada berselisih faham dengan pesakit. Kaedah ini didapati berjaya untuk memberikan sokongan kepada pesakit dan dapat mengelakkan pesakit menarik diri daripada aktiviti sosial (Azizi Yahaya et.al 2006:  200-201).
            Dalam filem tersebut Dr. Rosen banyak membantu Alicia dalam menanggani peyakit yang dihidapi oleh Nash. Selain itu juga, Alicia seorang isteri yang tabah dan banyak membantu Nash dan bersama-sama mengharungi kehidupan walaupun senang atau susah. Cuma, berlaku sedikit konflik bahawa Nash ingin membunuh anaknya sendiri dan setelah itu menolak Alicia semasa Alicia cuba untuk menelefon pihak hospital. Sokongan moral daripada isterinya adalah salah satu faktor Nash berjaya mengawal penyakitnya.
Kesimpulannya, dalam filem tersebut Nash berjaya menghalang halusinasinya iaitu 3 orang yang wujud di dunia khayalan bermula dari kawan biliknya Charles, Marcee, dan Parcher. Beliau memberitahu Alicia, " She never gets old ", merujuk ke Marcee, yang walaupun bertahun telah berlalu sejak pertemuan pertama mereka, namun Marcee kekal pada umur yang sama dan masih seorang gadis kecil. Dengan ini, beliau akhirnya menerima bahawa walaupun ketiga-tiga orang seolah-olah nyata, mereka berada dalam sebahagian hakikat halusinasi beliau. Atas nasihat Dr Rosen, Nash memutuskan tidak memakan semula ubat dan mempercayai bahawa dia boleh mengatasi dengan gejala itu dalam cara yang lain. Alicia memutuskan untuk tinggal dan menyokong beliau dalam hal ini. Faktor penting sebenarnya dalam rawatan tersebut adalah diri Nash sendiri yang berusaha untuk menghalang halusinasinya itu dan akhirnya beliau berjaya walaupun ketiga-tiga individu tersebut masih berada di sekelilingnya sehingga beliau tua. Akhirnya, pada tahun 1994, Nash memenangi Nobel Memorial Prize in Economics untuk kerja-kerja revolusi beliau mengenai teori permainan. Filem ini berakhir sebagai Nash dan Alicia meninggalkan auditorium di Stockholm, Nash melihat Charles, Marcee, dan Parcher berdiri sebelah dan memerhatikannya.



RUJUKAN

Alexander R.K. Mitchell. 1972. Schizophrenia: The Meanings of Madness. New York: Taplinger Publishing Co Inc.
Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad, Sharifuddin Ismail. 2006. Punca dan       Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn           Bhd.
Julianto Simanjuntak. 2008. Konseling Gangguan Jiwa. Jakarta: Penerbit PT Gramedia
            Pustaka Utama.
Nur Faizah Abdul Wahab. Januari 2001. Skizofrenia: Pesakit berada dalam dunia fantasi. Dewan             Masyarakat jil 39. Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sheila L. Videbeck. 2001. Buku Ajar Keperawatan Jiwa. Jakarta: Penerbit Buku Kedokteran
            EGC.
Singgih D. Gunarsa. 2004. Dari Anak Sampai Usia Lanjut. Jakarta: BPK Gunung Mulia.
Kosmo. 2008. 26 Mac.
Utusan Malaysia. 2009. 8 Jun.
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah. Kasih sayang pulihkan skizofrenia http://www.utusan.com.my (25/04/2010).
http://www.webmd.com/schizophrenia/guide/schizophrenia-symptoms-types

JENIS DAN SIMPTOM SKIZOFRENIA


JENIS-JENIS SKIZOFRENIA
Skizofrenia terbahagi kepada 5 jenis. Setiap jenis penyakit ini mempunyai perbezaan. Jenis-jenis skizofrenia adalah :
            1.  Schizoaffective Disorder
Schizoaffective Disorder adalah pesakit mental yang serius, mempunyai dua keadaan yang berbeza iaitu skizofrenia dan perubahan mood. Dikenali juga sebagai kemurungan (depression atau bipolar disorder). Schizoaffective Disorder adalah penyakit yang memberi kesan jangka panjang kepada jangka hayat pesakit termasuk kerja-kerja seharian, sekolah, hubungan sosial dan hubungan antara masyarakat. Kebanyakan pengidap penyakit ini akan mengalami kesakitan yang berpanjangan. Penyakit ini tiada rawatan dan ubat yang khusus untuk mengubatinya, namun simptom-simptom penyakit ini dapat dikawal melalui kaedah rawatan yang khusus.
Simpom-simptom :
Depression (kemurungan)
a)      Selera makan hilang
b)      Berat badan yang hilang atau bertambah
c)      Terganggu dengan waktu tidur (tidur sedikit atau banyak)
d)     Kurang berehat
e)      Kekurangan tenaga
f)       Kurang berminat dengan aktiviti-aktiviti luar
g)      Selalu berperasaan diri sendiri kurang berguna
h)      Menyalahkan diri sendiri atau rasa bersalah selalu
i)        Tidak menumpukan fikiran
j)        Selalu hendak mati
            2.  Brief Psychotic Disorder (Gangguan Psikologi )
Brief Psychotic Disorder adalah penyakit jangka pendek yang berkaitan dengan psychotic symptom. Simptom penyakit ini adalah datang secara tiba-tiba atau selalu, tetapi kadang-kadang atau kerap dalam sebulan. Selepas itu, pesakit akan sembuh sepenuhnya. Brief Psychotic Disorder terbahagi kepada tiga iaitu :
a)      Gangguan psikologi dengan tekanan perasaan yang jelas (brief reactive psychosis)
Penyakit ini terjadi dalam jangka masa pendek selepas beberapa kejadian yang terjadi seperti trauma atau major stress seperti kematian orang tersayang, kemalangan, serangan atau bala bencana alam. Penyakit ini menyerang pesakit apabila ada keadaan tertentu yang menganggu emosi pesakit.
b)     Gangguan psikologi tanpa tekanan perasaan yang jelas
Katogeri penyakit ini tidak menunujukkan sebarang trauma atau tekanan perasaan yang mencetuskan penyakit ini.
c)      Gangguan psikologi pada permulaan postpartum
Jenis penyakit ini kebiasaanya terjadi kepada wanita hamil yang berusia kandungan 4 minggu atau awal kandungan.
Simptom-simptom :
a) Halunisasi
B) Delunisasi
C) Kecelaruan dalam berfikir
D) Percakapan yang merapu
E) Sikap yang pelik dan berpakaian janggal
F) Masalah dalam mengingati (memori)
G) Selalu keliru
H) Perubahan dalam selera makan, tidur, berat badan dan kecerdasan badan
I) Tidak mampu membuat keputusan sendiri

            3.  Schizophreniform Disorder
Penyakit mental serius yang merosakkan cara seseorang berfikir, bertindak, meluahkan perasaan, membezakan sesuatu dan yang berkaitan dengannya. Schizophreniform Disorder adalah kategori psikosis di mana pesakit tidak dapat memberitahu dengan jelas perkara sebenar yang dialami,dan perkara yang berada di dalam imaginasinya juga tidak dapat diungkapkan. Penyakit ini adalah bersifat jangka panjang dan mungkin sepanjang hayat. Simptom-simptom penyakit ini mengambil masa lebih kurang 6 bulan atau lebih. Apabila simptom lebih daripada 6 bulan, maka penyakit ini terus menjadi lebih serius.
Simptom-simptom :
 a) Delusi
b) Halunisasi
c) Percakapan yang tidak teratur (cakap yang merapu-rapu )
d) Sikap yang pelik seperti berjalan dalam bulatan, menulis tidak berhenti dan sebagainya.
e) Kekurangan tenaga, kebersihan tidak terjaga, kebersihan diri terabai, tidak mahu bercampur  dengan masyarakat, menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan.

            4.  Gangguan delusi
Gangguan delusi (delusional disorder) juga dikenali sebagai paranoid disorder. Mereka tidak dapat membezakan antara alam realiti dan alam fantasi. Pesakit yang mengalami delusi ini akan mengalami imaginasi yang pelik, lucu, tidak masuk akal seperti mereka merasakn diri mereka selalu diekori, menentang suatu konspirasi, mencintai seseorang yang berada jauh dari mereka dan sebagainya. Penyakit ini selalunya kerap menjangkiti wanita berbanding lelaki.
Simptom-simptom :
a) Mudah marah
b) Halunisasi
            5. Shared Psychotic Disorder
Psychotic disorder adalah penyakit mental yang disebabkan oleh pemikiran dan persepsi yang tidak normal. Pesakit tidak mampu untuk berfikir secara waras, membuat keputusan dengann baik, memahami kehidupan, berkelakuan dengan baik dan kelancaran dalam berkomunikasi. Mereka akan berhalunisasi dan berdelusi sepanjang masa. Shared psychotic disorder dikenali sebagai folie a deux (dua kebodohan). Penyakit yang jarang kerana orang yang sihat (secondary case) berkongsi delusi pesakit psychotic disorder (primary case) seperti skizofrenia. Contoh, pesakit ini akan berdelusi bahawa makhluk asing sedang mengintip mereka. Delusi ini akan mempengaruhi secondary case dan akan hilang apabila kedua-dua mereka berpisah. Selain dari berdelusi, kelakuan dan pemikiran secondary case juga adalah normal. Oleh itu, susah untuk mengesyaki mereka. Penyakit ini adalah jangka masa panjang di mana seorang dominan dan lagi seorang adalah pasif. Secondary case yang berdelusi akan mempertahankan pesakit psychotic disorder. Penyakit ini boleh berlaku kepada individu, berkumpulan yang ada hubungan rapat dengan primary case.
SIMPTOM SKIZOFRENIA
Simptom skizofrenia dapat dibahagikan kepada tiga aspek yang penting iaitu kecelaruan kognitif, gangguan emosi dan kecelaruan tingkah laku.
1.      Kecelaruan Kognitif

Ciri utama penghidap skizofrenia apabila mengalami keadaan ‘tidak berpijak di alam nyata’. Pesakit biasanya mempunyai kepercayaan ganjil dan tidak betul, mempunyai persepsi yang salah, pemikiran dan bahasa yang terpisah-pisah dan tidak logik. Mereka juga mengalami kecelaruan tumpuan iaitu tidak dapat memberikan tumpuan kepada sesuatu perkataan atau peristiwa. Menurut Ramli (1978) dalam Azizi (2006) seseorang yang mengalami kecelaruan ini ialah seorang introvert yang suka bersendirian, sukar dan tidak berasa selesa bergaul dengan orang lain serta gemar berkhayal dan lebih suka hidup dengan fantasinya sahaja. Kecelaruan persepsi ini dikenali sebagai halusinasi dan kecelaruan kepercayaan pula dikenali sebagai delusi. Kecelaruan kognitif dapat dibahagikan kepada dua iaitu halusinasi dan delusi (Azizi Yahaya et. al 2006: 183).
1.1  Halusinasi (Hallucination)

Halusinasi adalah pengalaman persepsi tanpa kehadiran rangsangan deria. Pesakit mungkin dapat mendengar, melihat, merasa ataupun mencium sesuatu yang sebenarnya tidak ada di persekitarannya. Halusinasi ini seolah-olah seperti benar kepada pesakit dan mungkin disebabkan oleh kebimbangan dan perubahan-perubahan fungsi dalam sistem saraf. Bagi manusia yang normal, mimpi semasa tidur yang dialami mungkin dapat menggambarkan halusinasi bagi penghidap skizofrenia. Jenis-jenis halusinasi dapat dikategorikan seperti berikut:

1.1.1        Halusinasi pendengaran:

Seseorang itu dapat mendengar suara seperti mendengar suara tuhan, hantu, jiran ataupun saudara mara yang mungkin akan mengatakan sesuatu yang baik ataupun tidak baik walhal suara itu tidak ada.
            Kajian McGuire, Shah & Murray (1993), mendapati sebahagian daripada otak yang paling aktif semasa halusinasi adalah daripada kawasan Broca. Kawasan Broca adalah kawasan pertuturan. Sementara kawasan Wernicke’s adalah kawasan pendengaran. Menurut Hoffman, Rapoport, Mazure & Quinlan (1999) dalam Barlow & Durand (2002) dapatan yang diperolehi daripada pemerhatian menyokong teori yang menyatakan seseorang yang mengalami halusinasi sebenarnya tidak mendengar suara luar tetapi mendengar suaranya sendiri dan tidak boleh membuat perbezaan sebenar.



1.1.2        Halusinasi penglihatan:

Ia berlaku apabila penghidap skizofrenia dapat melihat sesuatu dengan jelas, dekat dan bergerak tetapi pada hakikatnya tidak dapat dilihat oleh orang yang normal. Contohnya, seseorang itu dapat melihat Tuhan, nabi, roh orang yang telah mati dan sebagainya.
            Berdasarkan filem A Beautiful Mind berlaku persepsi palsu atau menganggap suatu hal ada dan nyata padahal kenyataannya hal tersebut hanyalah khayalan semata-mata. John Nash mengalami halusinasi bertemu dengan tiga orang yang secara nyata tidak ada iaitu Charles Herman, William Parcher dan Marcee. Selain itu juga makmal rahsia, dan juga kod nombor yang dipasang pada tangannya juga merupakan halusinasi beliau yang tidak nyata.
1.2  Delusi (Delusion) :

Menurut Mueser dan Gingerich (1995) delusi merupakan kepercayaan yang salah yang tidak dikongsi dengan orang lain. Ia adalah kepercayaan yang tidak berdasarkan realiti dan sering menganggapnya sebagai perkara yang betul-betul berlaku. Kepercayaan yang salah ini tidak dapat dibetulkan dengan alasan, berlaku tidak kira latar pendidikan atau budaya seseorang itu. Sebagai contoh, pesakit percaya bahawa beliau adalah keturunan nabi, orang yang terkenal ataupun percaya ada pihak cuba menipu, memalukannya, mengintip, menjatuhkannya, mencederakan, membunuh ataupun menghancurkannya. Terdapat beberapa jenis delusi iaitu:

1.2.1        Delusi Penyeksaan dan Penganiayaan: pesakit mempercayai bahawa   masyarakat sentiasa berbicara tentang dirinya, mengawasi tindak tanduknya, menyimpan dendam terhadapnya dan cuba membunuhnya.
1.2.2        Delusi Kebesaran dan Kemuliaan: wujud daripada perasaan rendah diri dan berasa diri tidak selamat. Pesakit mempercayai bahawa orang sentiasa mengawasinya kerana kekuasaan yang dimilikinya.
1.2.3        Delusi Pengaruh: pesakit percaya adanya kuasa luar yang cuba mengawasinya. Dia juga merupakan individu yang dapat mempengaruhi orang lain dengan utusan atau perintah daripada Tuhan yang dipertanggungjawabkan.

 John Nash sangat terpengaruh dengan keyakinan bahawa kekuatan dari luar sedang mencuba untuk mengendalikan fikiran dan tindakannya. Adegan yang menunjukkan pengaruh ini iaitu ketika beliau disuruh membunuh isterinya, ketika disuruh menunjukkan bahawa dia genius, dan ketika diyakinkan bahawa dia tidak bererti oleh rakan halusinasinya, dan juga bahawa dirinya memiliki suatu kelebihan dan kekuatan serta menjadi orang penting. John Nash menganggap dirinya adalah pemecah kod rahsia terbaik dan mata-mata agen rahsia.
1.2.4    Delusi Hipokondriak: pesakit merasakan kesakitan tubuh badan yang pada hakikatnya adalah palsu.
1.2.5    Delusi Sangkaan: pesakit percaya semua perbuatan tertumpu kepadanya.Semua berita di akhbar, radio dan televisyen hanya berbicara tentang dirinya.
1.2.6        Dipersonalisasi: pesakit percaya tubuh badan mereka berubah bentuk kepada bentuk yang tidak menyerupai manusia.
1.2.7        Derealisasi: pesakit percaya alam semulajadi mengalami perubahan yang jelas.
     
2.      Gangguan Emosi

Gangguan emosi ini bermaksud kurang ataupun tidak menunjukkan gerak balas emosi ataupun mempunyai gerak balas emosi yang tidak sesuai dengan situasi. Proses pemikirannya sering kali tidak logik dan tidak berkait atau berkesinambungan antara satu dengan lain. Misalnya, bersedih ketika orang lain bergembira, ketawa ketika orang lain menangis dan sebagainya. Antara jenis-jenis gangguan emosi adalah:

2.1       Emosi yang tidak sesuai: berlaku apabila emosi tidak sesuai dengan situasi berlaku kepada pesakit. Contohnya, apabila diminta mematikan radio, pesakit akan ketawa secara keterlaluan.
2.2       Emosi malap: emosi yang sentiasa murung dan tidak menceriakan. Contohnya, pesakit hanya senyum sedikit, tanpa menunjukkan senyuman yang sewajarnya apabila diberikan hadiah.
2.3              Emosi berlebih-lebihan: berlaku apabila pesakit mengalami emosi yang berlebihan daripada yang sepatutnya. Contohnya, pesakit menunjukkan kegembiraan yang melampau seperti melonjak-melonjak dan ketawa yang kuat apabila diberikan duit walaupun hanya berjumlah 50 sen.
2.4              Emosi mendatar: berlaku apabila pesakit tidak menunjukkan tindak balas emosi terhadap peristiwa atau situasi yang berkaitan dengan dirinya. Contohnya, pesakit tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila diberitahu bahawa kucing kesayangannya mati.

 Adegan yang paling jelas dalam filem tersebut adalah iaitu ketika John Nash mendukung anaknya dan menawar diri untuk menjaga serta memandikan anaknya, beliau telah merendam anaknya dan tidak menyedari kesilapan yang dilakukan kerana anaknya itu masih bayi. John melakukan hal tersebut tanpa emosi sedikitpun.
2.5              Anhedonia: keadaan pesakit tidak mampu mengalami keseronokan, menyebabkan emosi pesakit kosong dan sesetengah daripada mereka akhirnya membunuh diri Kasih (Azizi Yahaya et. al 2006: 186).

3.      Kecelaruan Tingkah Laku

Kecelaruan tingkah laku berlaku apabila pesakit menarik diri daripada perhubungan sosial (tarik diri sosial). Dalam kes tertentu, mereka inginkan hubungan yang rapat dengan orang lain, tetapi takut kepada orang ramai ataupun menunjukkan kurang minat pada orang lain. Kadangkala pesakit hilang motivasi, tiada aktiviti yang bermatlamat. Suka berkeliaran dan kadang kala menghilangkan diri tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga (Utusan Malaysia 25 April 2010). Mereka juga mengalami kecelaruan seperti melakukan ekspresi muka yang ganjil, terlalu aktif ataupun sebaliknya tidak bergerak langsung ataupun seperti robot. Kadangkala bahasa pesakit sukar difahami. Mereka juga boleh bertindak seperti kanak-kanak dan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai di khalayak ramai misalnya daripada segi pakaian. Terdapat pesakit yang tidak mampu menjaga dan membersihkan diri seperti tidak mandi, menggosok gigi dan menukar pakaian. Menurut Hawari (2003), seseorang yang menderita skizofrenia adalah seseorang yang mengalami keretakan jiwa atau keretakan keperibadian.
            Dalam filem menunjukkan watak John Nash tidak mampu berinteraksi sosial seperti orang lain pada umumnya, beliau tidak menyukai orang lain dan menganggap orang lain tidak menyukai dirinya sehingga tidak mempunyai rakan.