SKIZOFRENIA DAN CARA RAWATANNYA
PENGENALAN
Esei ini mengupas tentang penyakit skizofrenia dari sudut jenis-jenis
skizofrenia, sebab-sebab skizofrenia, simptom-simptom skizofrenia dan kaedah
rawatannya. Di samping rujukan lain, Filem “A Beautiful Mind” menjadi rujukan utama
bagi mendapatkan penjelasan mengenai skizofrenia. Filem arahan Ron Howard ini menggambarkan
kisah perjuangan seorang ahli matematik genius yang bernama John Forbes Nash, lakonan
Russell Crowe, Alicia Nash (Jennifer Connelly) sebagai isteri John, Dr.
Rosen (Christopher Plummer) sebagai doktor yang merawat John, William Parcher
(Ed Harris) sebagai agen rahsia khayalan, Charles Herman (Paul Bettany)
sebagai teman sebilik khayalan, dan Marcee (Vivien Cardone) sebagai gadis
kecil khayalan yang merupakan anak saudara Charles Herman. John Nash mengidap
skizofrenia yang membuatkan beliau hidup dalam halusinasi dan selalu dibayangi
ketakutan hingga beliau harus berjuang untuk sembuh dan meraih Hadiah Nobel
pada tahun 1994, kala beliau memasuki usia senja. Filem ini menggambarkan walaupun
seorang genius wujud kemungkinan untuk menghidapi penyakit seperti skizofrenia,
sepertimana kes yang berlaku pada watak John Nash tersebut. Namun, melalui
rawatan dan yang paling utama sokongan daripada orang sekeliling terutama
isterinya Alicia, beliau dapat menghadapi penyakit ini walaupun tidak sembuh
sepenuhnya.
APA ITU SKIZOFRENIA?
Skizofrenia adalah penyakit mental yang paling terkenal dihidapi
oleh penduduk dunia. Sejak tahun 1860 ahli psikiatri dari Perancis, Morel
menghuraikan sindrom ini sebagai demence precox. Pada 1896, Father of
Psychiatrist Emil Kraepelin berpendapat sindrom ini sebagai dementia
praecox yang terdiri daripada tiga jenis iaitu katatonik, hebefrenia dan
paranoid. Sementara pada tahun 1911 ahli psikiatri dari Swiss, Eugen Bleular
menggantikan ‘dementia praecox’ dengan schizophrenia. Schiz bermaksud
terbelah, tercerai atau terpisah (split), Phrenia bermaksud
fungsi psychic, mind (minda). Dalam kata lain, skizofrenia ialah split
of the mind. Beliau berpendapat skizofrenia tidak semestinya berakhir
dengan dementia dan penyebabnya adalah faktor psikologi seperti penceraian ibu
bapa, tiada kasih sayang dan dirawat dengan psikoterapi. Pendapat ini diterima
ramai oleh ahli psikiatri dan kekal sehingga hari ini (Azizi Yahaya et. al
2006: 180).
Kecelaruan
skizofrenia adalah kecelaruan mental dan emosi yang paling serius. Istilah am
yang boleh digunakan bagi kecelaruan ini ialah psikosis. Psikosis ialah keadaan
individu yang mengalami kehilangan hubungan dengan kenyataan (realiti). Hal ini
akan memberi kesan dalam semua aspek kehidupannya. Mereka kelihatan seperti
berputus asa dan tidak mahu menyesuaikan diri mereka. Skizofrenia ialah satu
kumpulan gangguan mental melibatkan 1 peratus daripada kalangan popuulasi
dunia. Ia terdiri daripada fungsi psikosis termasuk gangguan dalam proses
pemikiran yang menunjukkan ciri-ciri seperti gangguan tingkah laku dan gangguan
dalam persepsi yang ditunjukkan melalui delusi dan halusinasi. Delusi ialah
kepercayaan yang dipegang secara tidak rasional yang tidak dapat diubah dengan
alasan rasional. Halusinasi ialah persepsi salah tentang sesuatu yang tidak
wujud (Azizi Yahaya et. al 2006: 180-181).
No comments:
Post a Comment