Wednesday 3 April 2013

Konsep dan Tema Utama Teori Psikoanalitik Melalui Tahap Kesedaran Minda



Aliran Psikoanalisis diasaskan oleh sigmund freud.Beliau merupakan doktor saraf yang dilahirkan di Vienna,Austria tahun 1856.Aliran ini memfokuskan pada jiwa manusia.kajian mental berlaku secara terselindung.kita tidak dapat melihatnya secara nyata.Sebagai contoh kajian oleh sigmund freud yang mengutarakan teori Psikoanalisis. Beliau menyatakan di dalam minda manusia terbahagi kepada 3 bahagian: 


3.0 KONSEP DAN TEMA UTAMA TEORI PSIKOANALITIK MELALUI TAHAP KESEDARAN MINDA 

3.1 Tahap kesedaran 

Bagi menerangkan teori psikoanalitik ini, Sigmund Freud telah membahagikan tiga tahap kesedaran minda di dalam diri seseorang manusia. Tiga tahap tersebut ialah minda sedar, minda separa sedar dan minda tidak sedar. Setiap tahap kesedaran itu mempunyai huraian yang berbeza antara satu sama lain. Bagi menerangkan tahap-tahap kesedaran tersebut, Sigmund Freud telah membuat analogi dengan membuat persamaan terhadap seketul ‘iceberg’ yang besar. Seperti yang kita sedia maklum ‘iceberg’ ini biasanya akan terapung di atas permukaan air. Beliau menerangkan bahawa kedudukan dan tahap pemikiran manusia adalah sama juga seperti struktur iceberg. 

Minda sedar merupakan tahap dimana ia merangkumi apa sahaja yang seseorang sedari tentang perkara-perkara tertentu. Minda sedar berkaitan dengan pemikiran, sensasi, perasaan, dan ingatan. Dalam erti kata lain ialah apa-apa yang kita sedang rasakan, ingatkan dan fikirkan pada masa kini. Semua perkara ini adalah perkara yang kita sedari sepenuhnya. Sebagai contohnya kita sedang gembira, marah, sepi, lapar, kenyang, inginkan sesuatu dan sebagainya lagi. Berdasarkan iceberg yang dirujuk oleh Freud itu tadi, peringkat alam sedar adalah di bahagian paling atasiceberg yang timbul. 

Dalam teori tentang minda sedar (conscious mind), Freud menjelaskan bahawa minda sedar adalah segala sesuatu yang disedari oleh manusia pada saat-saat tertentu, penginderaan langsung, ingatan, pemikiran, fantasi dan perasaan yang dimiliki manusia. 

Minda bawah sedar ialah tahap dimana ia mengandungi ingatan-ingatan yang tidak disedari pada masa kini, tetapi sebenarnya ingatan-ingatan tersebut dapat dan boleh disedari melalui proses memberi perhatian dan mengingat semula. Misalnya disini, katakanlah kita tidak ingat apa warna baju yang telah kita pakai semalam, tetapi perkara ini sebenarnya kita boleh ketahui dengan mengingat semula, kesannya proses ingatan itu dapat membuatkan diri kita sedar. Alam pra sedar ini berada pada tahap di antara tahap alam sedar dan alam tidak sedar, pada bahagian iceberg ia digambarkan berada di antara bahagian iceberg yang yang timbul dan bahagian iceberg yang tenggelam. 

Walaupun khalayak biasanya menganggap ungkapan 'separa sedar' sebagai sepatah istilah psikoanalisis, ini tidak benar. Sigmund Freud mengutuk perkataan itu dengan nyatanya lagi: "Kita juga betul dalam menolak istilah 'separa kesedaran' kerana [istilah itu] salah bahkan menipu". Di dalam terbitan-terbitannya yang kemudian, bantahan Freud dijelaskan: 

"Jika seseorang bercakap tentang separa sedar, saya tidak mengerti sama ada dia semata-mata bermaksud istilah itu daripada segi topografi — untuk merujuk kepada sesuatu yang terletak di dalam minda di bawah kesedaran — atau secara kualitatif — unutk merujuk kepada kesedaran yang lain, iaitu suatu kesedaran subpermukaan. Dia mungkin tidak jelas juga tentang apa yang dicakapnya. Antitesis yang paling dapat dipercayai adalah antara sedar dan bawah sedar". 

Tahap kesedaran ketiga ialah minda tidak sedar. Tahap ini menurut Freud adalah merupakan tahap yang paling penting. Pada tahap ini, ingatan-ingatan yang tersimpan pada waktu dahulu disisihkan daripada tahap sedar disebabkan oleh kerana tidak membuatkan seseorang selesa dan membawa kebimbangan, sesuatu perkara boleh menyebabkan perubahan-perubahan yang berlaku di dalam emosi. Freud juga mengatakan bahawa tahap kesedaran adalah merupakan asas kepada tingkah laku manusia. Tahap alam tidak sedar ini mengandungi kesemua naluri (seksualiti) dan keinginan yang tidak dibenarkan masuk ke alam sedar. Tahap ini digambarkan dengan bahagian iceberg yang terletak dibawah permukaan air. Freud mengatakan bahawa hanya pakar sahaja yang boleh memahami tahap minda tidak sedar seseorang berdasarkan teknik perkaitan bebas (free association) yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam bahagian rawatan teori psikoanalitik ini. 

3.2 Struktur personaliti 

Dalam memahami pemikiran manusia, Freud telah mengutarakan konsep-konsep personaliti yang mempunyai tiga sistem yang mana berkait antara satu sama lain. Menurutnya, sistem ini berfungsi dalam membentuk personaliti seseorang yang merangkumi cara-cara berfikir dan bertingkah laku. Tiga sistem tersebut ialah Id, Ego, Superego. 

Id merupakan tempat terletaknya dorongan biologikal dan tenaga-teaga naluri. Id ini adalah diwarisi, bersifat primitif, dan tidak boleh disedari, ia terletak terletak pada tahap alam tidak sedar. Naluri-naluri yang terdapat pada sistem id dapat diklasifikasikan kepada dua, iaitu naluri hidup (eros) dan naluri mati (thanatos). Naluri hidup ialah naluri seperti seksual, lapar dan sebagainya dimana ia membantu manusia untuk terus hidup (survival), manakala naluri mati pula ialah naluri penghancur dimana manusia mempunyai hasrat dan kehendak untuk mati. Bagi Freud, manusia adalah terlansang kerana hasrat untuk mati disekat oleh naluri hidup. Daripada kedua-dua huraian tersebut dapat dikatakan bahawa naluri daripada Id adalah terdiri daripada naluri seperti seksual, gesaan biologikal, impuls kelangsangan dan juga kehancuran. Id merupakan sumber libido, iaitu satu tenaga psikik yang berfungsi untuk menggerakkan pemikiran dan tingkah laku seseorang. Id beroperasi berlandaskan kepada prinsip kenikmatan dengan mencari kepuasan dan mengelak kesakitan. Dalam mencapai matlamat itu tidak semuanya naluri dapat dipuaskan, kesannya timbul ketegangan dan pergelutan. Bagi mengurangkan ketegangan tersebut, id menggunakan proses pemikiran asas atau premier (primery process) dengan cara membentuk dan membayangkan objek yang diingini. Sebagai contohnya apabila kita dalam keadaan mengantuk kita mungkin akan membayangkan diri kita tidur di atas katil yang empuk. 

Sistem personaliti yang kedua ialah ego, iaitu bahagian personaliti yang mempunyai sifat realistik, rasional dan logikal. Ia bertindak seolah-olah seperti kuasa eksekutif dan pengawal kepada tindakan-tindakan fikiran dan tingkah laku yang sesuai dengan keadaan persekitaran. Ego beroperasi berlandaskan kepada prinsip realistik kerana ia perlu mencari jalan yang realistik dan pertimbangan wajar dalam memenuhi keperluan dan dalam masa yang sama cuba mengelak masalah yang disebabkan oleh fikiran dan tingkah laku yang bersifat mementingkan diri sendiri. Bagi memenenuhi kehendak id, ego yang menjalankan fungsi realistik akan melihat halangan-halangan di dalam persekitaraan dalam konsep dunia yang nyata. Dalam strategi ego untuk menyelesaikan masalah yang wujud, ego menggunakan proses pemikiran sekunder (secondary process) dengan cara tertentu. Sebagai contonya apabila kita rasa mengantuk, ego yang ada pada diri kita akan membuat keputusan yang kita harus perlu pergi membasuh muka, meminum air kopi ataupun membuat senaman ringan bagi menghilangkan rasa mengantuk. 

Superego adalah sistem personaliti yang ketiga, ia merupakan komponen personaliti yang mempunyai nilai moral. Menurut Freud, Id dan Ego tidak mempunyai nilai-nilai moral dimana Id cuba bertindak memenuhi kepuasan segera dan mengelak kesakitan, Ego pula cuba mencari jalan realistik memenuhi keperluan tersebut tetapi sebenarnya tidak mengambil kira sama ada cara-cara tersebut betul ataupun salah pada pandangan sistem sosial seperti dalam moral masyarakat, agama budaya dan sebagainya. Superego akan bertndak mendesak Id untuk tidak mengeluarkan impuls kepuasannya untuk mencapai kenikmatan semata-mata, Superego juga akan mengarah ego agar dapat mengikuti nilai-nilai moral yang dipegang oleh masyarakat sekeliling. 

Superego dapat dibahagikan kepada dua komponen iaitu hati nurani (conscience) dan ego ideal. Dari sudut pandangan Freud, hati nurani adalah merupakan kesemua tingkah laku yang menyebabkan kanak-kanak dihukum dan kesannya mereka berasa bersalah. Ego ideal pula adalah merupakan kesemua tingkah laku yang menyebabkan kanak-kanak dipuji dan diberi ganjaran, kesannya mereka akan berasa bangga dan mendapat kepuasan. Dalam erti kata lainnya ego ideal ini diperolehi daripada perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk memberi satu kebanggaan kepada diri sendiri. Secara ringkasnya kedua-dua komponen Superego ini membantu dalam pembentukan Superego, dan ia terhasil daripada proses ganjaran dan hukuman. 

4.0 RAWATAN KAEDAH PSIKOANALITIK 

Bagi melancarkan proses kaunseling maka pendekatan psikoanalitik telah menggariskan lima kaedah seperti berikut; 

4.1 Perkaitan bebas 

Teknik ini dilakukan dengan meminta klien berbaring di atas kerusi manakala kaunselor berada di belakang atau di hujung kepala klien. Kaunselor akan cuba menenangkan fikiran klien. Klien digalakkan meluahkan segala isi hati dan perasaannya yang tidak logik dan tidak rasional. Kaedah perkaitan bebas ini digunakan untuk mengingat dan meluahkan emosi yang berkaitan dengan keadaan-keadaan traumatik masa lalu. Proses ini di kenali sebagai katarsis. Semasa proses ini dilakukan, kaunselor berperanan mengenalpasti bahan represi yang masih terkunci di alam tidak sedar. Dalam hal ini, pendekatam hipnosis juga boleh di gunakan. 

4.2 Penafsiran 

Penafsiran ialah prosedur asas yang digunakan untuk menganalisis perkaitan bebas, mimipi, penahanan, dan pemindahan. Prosedurnya, kaunselor perlu memberikan petunjuk, penjelasan dan nasihat kepada klien tentang makna-makna tingkah laku yang dimanifestasikan daripada perkaitan bebas, mimpi, penahanan, dan hubungan terapiutik itu sendiri. Fungsinya ialah memberi peluang kepada ego mengasimilasikan bahan-bahan baru dan mempercepatkan pendedahan lanjut bahan-bahan alam tidak sedar. Penafsiran kaunselor membantu klien kepada celik akal dan sedar segala yang terpendam di dalam dunia tidak sedar klien. 

4.3 Takbir Mimpi 

Analisis mimpi digunakan untuk mendedahkan bahan-bahan tidak sedar klien dan memberi celik akal klien untuk menyelesaikan masalah yang tidak dapat di selesaikan. Freud beranggapan bahawa mimpi adalah “jalan diraja ke alam tidak sedar”. Kerana dalam mimpi terdapat manifestasi perkara atau peristiwa yang tidak biasa muncul dalam alam sedar. Dalam mimpi, alam tidak sedar akan melahirkan impian, keperluan, kebimbangan dan sebagainya. 

4.4 Analisa penahanan 

Semasa perkaitan bebas atau perkaitan mimpi dijalankan, klien mungkin tidak bersedia untuk menceritakan beberapa fikiran, perasaan dan pengalamnya. Keadaan tidak mahu atau tidak berupaya melahirkan perasaan seperti ini disebut sebagai penahanan. Freud melihat bahawa penahanan sebagai dinamika alam tidak sedar yang cuba melindungi daripada menjai sedar akan dorongan dan perasaannya yang tertindas. Selagi penahanan ini tidak diatasi maka selama itulah klien akan mengalami kerisauan dan permasalahan. Dengan itu, kaunselor perlu menjelaskan perkara ini dan klien pula mesti menghadapinya sekiranya ingin menyelesaikan konflik yang dihadapinya secara realistik. 

4.5 Analisa Pemindahan 

Kebanyakan terapi analitik percaya bahawa klien akan membentuk “pemindahan neurosis” kerana neurosis klien berasal dari zaman kehidupan lima tahun yang pertamanya. Tapi sekarang klien tidak seharusnya membawa unsur-unsur tersebut kedalam zaman dewasanya sebagai kerangka kehidupanya. Dalam pemindahan ini, klien akan memindahkan perasaan dan pengalaman yang di alaminya semasa zaman kanak-kanak dahulu kepada kaunselor. Kaunselor pula akan menggalakkan pemindahan neurosis denganbersikap neutral, objektif, anonymity, dan pasif. Kaunselor akan cuba memahami dan mentafsirkan curahan perasaan dan pengalaman ini supaya klien sedar akan sebab-sebab berlakunya tindakan yang tidak rasional didalam dirinya selama ini. 

5.0 APLIKASI TEORI PSIKOANALITIK 

Disebabkan sifat psikoanalitik yang rumit dan kompleks maka aplikasi psikoanalitik adalah agak terhad. Maka untuk memudahkan teori ini diaplikasikan maka seseorang kaunselor perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dan serasi dengan pendekatan ini. Teori ini dapat digunakan untuk; pertama, mengenalpasti masalah klien dengan menghubungkaitkan dengan keterencatan pada peringkat-peringkat tertentu perkembangan klien, kedua menguji sejauh mana pengalaman masa lampau klien menimbulkan kesan yang tidak baik pada diri klien sekarang, ketiga mengatasi konflik yang sekian lama dan berurutan dalam hidup klien, keempat pula ialah mengenalpasti struktur psyche (id, ego, superego) yang sedang mengawal klien. 

Dapatlah dikatakan bahawa teori ini dapat diaplikasikan dalam kaunseling bagi menyediakan suasana untuk membantu klien mengalami semula pengalaman awal hidupnya secara individu mahupun dalam kekeluargaan serta persekitarannya. Ianya juga bertujuan untuk menyelami dan membongkar perasaan yang terpendam disebabkan oleh peristiwa atau pengalaman masa lampau yang boleh mempengaruhi tingkahlaku masa kini. Ia juga dapat membantu kepada celik akal kepada punca keterencatan perkembangan psikologikal kemudian merangsang penyembuhan pengalaman emosi klien. Dari segi tatacara terapi ini juga dapat diaplikasikan dalam kaunseling seperti teknik perkaitan bebas. Tetapi mungkin caranya diubahsuai mengikut semasa. 

6.0 SUMBANGAN TEORI PSIKOANALITIK 

Freud merupakan seorang tokoh psikologi yang dapat menentukan dan telah mendahului zamannya dengan pemikiran ilmiah dan psikologi. Kerajinan dan kesungguhan beliau telah menghasilkan dapatan-dapatan yang telah dipraktikan oleh Freud di klinik persendiriannya dan didapati telah berkesan . beliau juga telah menghasilkan beberapa buku yang menjadi rujukan oleh ahli-ahli psikologi di seluruh dunia hingga kini. 

Pendekatan yang diperkenalkan oleh Freud ini seperti kaedah hipnosis, perkaitan bebas dan analisis mimpi telah memberi sumbangan yang besar terhadap kaedah terapi psikoanalisis bagi merawat pesakit-pesakit neurosis. Diantara sumbangan yang besar yang dicurahkan oleh freud ialah; pertama, melalui teorinya, kita dapat mengetahui tentang dinamika yang sering berinteraksi dalam jiwa kita sehingga membawa kepada kerisauan, kedua kaedah-kaedah yang dicadangkan oleh Freud dapat membantu di dalam kaitan memahami penahanan dan kepentingan perhubungan kaunselor dan klien, nilai-nilai pemindahan dan mekanisme bela diri, kita juga dapat mengetahui peringkat-peringkat perkembangan personaliti dan permasalahan-permasalahan yang berkaitan dengannya serta tingkah laku yang terhasil akibat terlekatnya perkembangan tersebut dalam sesuatu peringkat tertentu. 

Menurut Shahabudin Hashim dan Rohizani Yaakub (2002), terdapat dua matlamat utama teori psikoanalitik iaitu pembentukan semula watak dan menguatkan fungsi ego. Daripada kedua-dua matlamat tersebut, ramai penyelidik psikoanalitik berpendapat bahawa Freud memberikan tugas tersebut terutamanya kepada kaunselor ataupun aktiviti kaunseling itu sendiri. Pengalaman masa lampau sangat penting untuk membolehkan seseorang individu ataupun kaunselor memahami secara mendalam masalah yang mempengaruhi pemikiran klien yang ada pada masa kini. 

7.0 PENUTUP 

Secara ringkasnya kita mengetahui bahawa teori ini sebenarnya sukar diterjemahkan ke dalam dunia nyata namun kita seharusnya menghargai sumbangan yang besar diberikan oleh Freud dari segi kefahaman, kaedah-kaedah, peringkat-peringkat perkembangan personaliti dan masalah manusia dan bagaimana sifat semulajadi manusia serta menggunakannya dengan mengukur tahap ksedaran minda. Kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa teori yang diperkenalkan oleh Freud telah menjadi asas dan menjadi pelopor kepada teori-teori psikoterapi yang lain. Terdapat banyak perkara yang seharusnya kita pelajari daripada teori psikoanalisis ini, kerana teorinya yang sangat kompleks maka kita tidak dapat mengetahui maksud-maksud yang dinyatakan sama ada secara tersurat atau pun secara tersirat. Terdapat beberapa hal yang penting mengenai teori ini yang boleh dijadikan sebagai satu proses pembelajaran sepanjang hayat, dan khususnya sebagai seorang kaunselor, pengetahuan tentang teori psikoanalitik ini haruslah menjadi panduan untuk membantu klien. Teori ini akan dapat membantu kita dalam mengendalikan kaunseling dengan lebih berkesan apabila ianya dijalankan dengan kaedah-kaedah yang betul. Dalam teori ini juga telah ditekankan tentang perkembangan awal kanak-kanak pada peringkat lima tahun pertama dan interaksi ketiga-tiga unsur id, ego, superego yang amat penting dalam pembentukan personaliti seseorang. Walaupun idea-idea yang dikemukakan oleh freud bukanlah sesuatu yang komprehensif, sebagai contohnya hanya menekankan kepada hal berkaitan seks tetapi pada asasnya teori ini telah meletakkan asas dan rangsangan yang positif ke arah kewujudan teori-teori lain selepasnya. 


8.0 RUJUKAN 

Amir Awang. (1991). Teori-teori Kaunseling & Psikoterapi. Pulau pinang : Universiti Sains Malaysia. 

Corey, G. (1996). Theory and practice of of counseling and psychotherapy (6th ed). Pacific Grove: Brooks/Cole. 

Daniels, V. (2003). Sigmund Freud & Psychoanalysis Notes. Website in The Psychology Department at Sonoma State University. Diterima pada — Mac, 2010 daripadahttp://www.sonoma.edu

Gladding, S.T. (2000). Counseling; A comprehensive Profession. (4th ed). New Jersey: Prentice Hall. 

Guy, S. (2009). The Psychoanalytic Model Of Therapy. Bukisa share your knowledge online. Diterima pada — Mac, 2010 daripada http://www.bukisa.com

Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2003). Psikologi. (2nd ed). Universiti Putra Malaysia. Shah Alam: McGraw – Hill. 

Othman Mohamed. (2001). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling. Serdang: Universiti Putra Malaysia. 

Shahabudin Hashim & Rohizani Yaakub. (2002). Teori Personaliti Dari Perspektif Islam, Timur dan Barat. Bentong: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. 

























No comments:

Post a Comment